Hujan renyai-renyai di pagi itu membuatkan Shila berlari-lari anak
pulang kerumahnya. Memang menjadi kebiasaan Shila untuk bersiar-siar
ditaman di hadapan rumahnya mencari tenang di hati seusai solat subuh.
Shila kini bukan lagi seperti Shila yang dulu. Baru beberapa bulan Shila
tekad menjalani kehidupan sebagai muslim sepenuh masa. Sebelum ini
Shila tidak kenal erti solat. Telekung untuk solat pun berhabuk dalamalmari rumahnya. Terakhir dia menyentuh telekung itu adalah saat-saat
dia diijab kabul dengan suaminya 4 tahun lalu. Itupun telekung itu hanya
menjadi hantaran perkahwinan semata-mata. Dan beberapa bulan lepas,
Shila tekad ‘menyentuh’ kembali telekung yang disimpan rapi dalam almari
rumahnya.
Hatinya sayu. Sampai dirumah, Shila lantas membuka peti sejuk
rumahnya dan mencapai air mineral sebagai penghilang dahaga. Saat-saat
menuang air ke dalam gelas, matanya terpandang kalendar didinding
rumahnya.
“ Hari ini 23 Sya’ban.” Monolog hatinya.
“ Maknanya lagi 7 hari la nak masuk Ramadhan.” Hati kecil wanita itu sambung bermonolog.
Tiba- tiba hatinya menjadi semakin sayu. Bimbang adakah masih ada
harapan untuk dia bernafas di 1 Ramadhan kali ini. Orang lain mungkin
punya sebab tersendiri mengapa tidak sabar menanti Ramadhan saban tahun.
Namun bagi Shila, dia mungkin satu antara seribu muslim yang punya
alasan tersendiri mengapa hati sayu menanti Ramadhan kali ini. Ramadhan
kali ini paling dinanti Shila kerana ini Ramadhan pertama yang mungkin
akan memberi makna kepada Shila.
Ramadhan Shila dulu…………..
Dulu Shila macam tak pernah melalui Ramadhan. Dibesarkan dalam
keluarga yang berada dan menjalani kehidupan bersama keluarga di negara
barat membuatkan kehidupannya tidak ubah seperti kehidupan masyarakat
kulit putih disana. Entah bila Ramadhan, entah bila pula Syawalnya tidak
pernah dia ambil kisah. Nak menjalani ibadah puasa, jauh sekali. Dalam
sehari arak pun tidak boleh lekang dari diteguknya. Ahli keluarga pun
tidak ada yang puasa, malah daddy Shila sebagai ketua keluarga pun tidak
pernah ajar cara berpuasa.
Malah, Shila juga pernah mencabar rakan islamnya yang berpuasa dengan makan didepan mereka tanpa rasa bersalah.
Suami Shila……….
Shila nekad mengahwini teman lelakinya. Namun kehidupan Shila nyata
tiada perubahannya lantaran suaminya juga kaki mabuk, kaki wanita dan
tiada masa membimbing isteri ke jalan yang benar. Masuk Islam pun sebab
mahu berkahwin dengan Shila. Gaya hidup tetap sama dengan masyarakat
kulit putih disekeliling mereka.
Takdir meletakkan mereka hanya boleh bersama selama setahun kerana suaminya meninggal dunia akibat mengambil dadah berlebihan.
Solat Shila……
Shila tahu apa itu solat. Malah seringkali melihat rakan Islamnya
berjemaah di universiti tempat dia belajar. Namun tidak pernah pula
Shila cuba melaksanakan amalan wajib bagi umat Islam itu. Kadang-kadang
Shila hairan melihat rakan islamnya yang tenang saja saat masalah
melanda. Musim-musim peperiksaan juga dilalui denga tenang sedangkan
Shila, masih lagi terkontang kanting minum arak setiap malam musim
peperiksaan akibat tekanan yang dirasakan. Baginya tiadalah yang boleh
menghilangkan tekanan melainkan diteguk air haram itu.
Suatu malam, Shila bertanya kepada rakan islamnya, Aida ( bukan nama sebenar);
“ Mengapa saya lihat kamu tenang sahaja walaupun esok kita ada
exam yang semua orang tahu susah.” Tanya Shila dalam bahasa Melayu
walaupun bahasa melayunya sudah tidak seperti orang-orang melayu lain.
“ Bertenang saja hadapi kehidupan. Kerana kita ada tempat
mengadu. Waktu belajar kita belajar bersungguh-sungguh. Waktu beribadat,
kita beribadat bersungguh-sungguh. InsyaAllah Shila, kita kan ada
tempat mengadu. Dia sentiasa setia mendengar doa rintihan kita” Jawab.
“ Siapa dia?” Shila mula kehairanan.
“ Allah s.w.t.” Kata Aida sambil menutup naskhah al-quran yang sedang dibacanya.
“ Siapa tu? Tak kenal pun.” Tanya Shila lagi.
“ Tak kenal?.” Aida bertanya kembali dengan riak sedikit terkejut diwajahnya.
Memang agak mengejutkan wanita Islam berusia 20-an tidak mengenal
Allah s.w.t. Tapi itulah hakikat kehidupan Shila. Bukan salah diri yang
tidak tahu, mungkin ibubapa Shila tidak pernah mengajar Shila tentang
itu. Sememangnya sedih apabila Shila ditakdirkan membesar dalam keluarga
yang longgar pegangan agamanya. Ayahnya orang melayu, memilih berkahwin
dengan wanita yang berlainan bangsa dan agama. Malah, selepas
berkahwin, ayahnya pula hanyut dan terikut-ikut budaya ibunya.
Membuatkan ayahnya lupa tentang solat, puasa, zakat, apatah lagi ibadah
haji.
“ Allah itu Pencipta kita. Kalau Allah tidak mengizinkan kita hidup
dimuka bumi ini, tiadalah kita disini. Dan kalau awak baca dan faham isi
kandungan al-quran. Segalanya terasa mudah apabila kita menjalani
kehidupan berteraskan kitab suci ini.” Terang Aida sambil menunjukkan
naskhah al-quran yang dipegangnya.
Shila tertunduk. Berfikir sejenak. Mungkin dia bicara dalam hatinya.
“ Kalau saya ada masalah, saya pun ada cara saya untuk tenang. Saya
minum arak. Lepas tu rasa semuanya hilang. Saya dalam dunia saya.” Kata
Shila.
“ Lepas minum air tu, adakah masalah awak hilang dan selesai?” Aida menguji.
“ Hilang sekejap. Bila saya bangun esok pagi, saya kembali berfikir
tentang masalah itu. Maknanya masalah saya tak selesai pun sebenarnya.”
Shila menjawab sambil membelek-belek telekung yang dipakai Aida.
“ Kalau cara saya ini. Masalah selesai dan hati pun tenang. Sebab
saya mengadu kepada pencipta kita, Allah. Allah yang mencipta kita. Dia
tahu semuanya pasal kita. Allah tahu apa yang kita mampu hadapi. Allah
tahu juga apa yang kita tak mampu hadapi. Sebab itulah, bila mana
sesuatu berlaku kepada saya, saya rasa Allah menguji saya kerana saya
mampu. “ Kata Aida lagi.
Perbualan malam itu berakhir disitu. Ada sesuatu yang melekat dalam
hati Shila. Sejak itu Shila sering berdamping dengan Aida. Kagum benar
dia dengan wanita islam bernama Aida itu. Pakaiannya menutup aurat. Gaya
percakapannya lemah lembut. Alunan bacaan al-qurannya sedap didengar.
Solatnya penuh teratur dan dilakukan seusai masuk saja waktu solat.
Segalanya dilalui dengan tenang. Saat-saat rakan lain tertekan belajar
diwaktu peperiksaan, Aida masih kelihatan tenang. Waktu belajar dia
belajar, waktu solat tidak pernah sekalipun diabaikan. Dan yang nyata,
Aida sering mendapat keputusan yang amat baik dalam peperiksaan. Itu
menambahkan lagi keyakinan Shila untuk mendampingi insan bernama Aida
ini.
Satu persatu hukum Islam dipelajari. Shila banyak belajar dari Aida.
Belajar tentang apa erti kalimah syahadah. Apa erti dia lahir sebagai
Islam. Apa erti solat. Apa erti berdoa. Aida nyata gembira dengan
perkembangan Shila. Walaupun Shila terpaksa belajarmengaji bermula
dengan membaca iqra’, namun bacaannya seringkali menunjukkan
peningkatan. Aida pua tidak pernah rasa jemu mengaja Shila kembali
mengenal fitrah manusia dan mngajak Shila menjalani kehidupan
bertuhan……[bersambung]
sumber : azzariyat.com
No comments:
Post a Comment